REENA SIDEK

Selasa, Mac 15, 2011

055 ; HATI INI MILIK SIAPA

Tajuk : Hati Ini Milik Siapa
Karya : Ebriza Aminnudin
Terbitan : Fajar Pakeer
Dimiliki Pada : 26/12/2009


Sinopsis :




Cinta pertamanya bersama Hezriq yang kecundang menjadikan Ezmira seorang perlarian. Dia membina hidup baru di tanah kelahirannya, Pulau Pinang dan menjadi seorang prejudis terhadap cinta. Setelah berjaya melupakan kenangan pahit itu, dia terpaksa kembali ke kota yang menyimpan seribu satu kenangan kerana dinaikkan pangkat.



Perkara yang ditakuti akhirnya muncul apabila Hezriq ingin kembali kepada dirinya dan ingin menjadikannya sebagai isteri kedua. Mampukah dia melukai hati isteri Hezriq? Siapakah akhirnya yang berjaya memiliki sekeping hati milik Ezmira?Bekerja dengan Jimmy Shanley telah membibitkan semula rasa cinta di dalam hatinya. Dan ternyata dia tidak bertepuk sebelah tangan. Danish, sepupu kepada Hezriq yang mengharap cintanya membuatkan dirinya serba salah.

PROMO - DIALOG :
“Ye. Dah lama Mira tak tengok bintang-bintang secantik ni. Macam pasangan kekasih pula saya lihat kita ni yang bersantai di bawah sinaran cahaya purnama.” Aku tergelak sendiri dengan ayat yang telah aku tuturkan. Itulah aku yang sekejap membahasakan diri aku kepada Jimmy Shanley ‘saya’ dan sekejap ‘Mira’. Aku tidak tetap dengan panggilan diri sendiri ketika berbicara dengan Jimmy Shanley. Tidak seperti Danish, yang telah kutetapkan panggilan diri ini kepada ‘Mira’ setiap kali berbual dengannya. Jimmy Shanley kulihat menguntum senyuman untuk kesekian kalinya.

“Kalau benar pun, apa salahnya?” Jimmy Shanley melirik manja ke arahku. Aku mula berasa tidak enak, lalu segera aku menolak kemungkinan pada kata-katanya.

“Aaa ... Encik Jimmy, jangan lebih-lebih. Tak larat tau saya nak pesan berulang kali yang kita ni kawan mesra saja. Kan?” Aku menekan suara. Jimmy Shanley menguntum senyumnya lagi.

“Saya faham. Awak tahu Mira, saya dah lama tak berdua-duaan dengan wanita sebegini setelah hati saya dilukai dengan begitu teruk. Pengalaman cinta yang lalu membuatkan saya tidak mempercayai pada mana-mana wanita lagi tetapi kehadiran awak telah mengubah persepsi yang saya pegang selama ini. Terima kasih, Mira ... kerana telah mengubah pandangan saya terhadap wanita selama ini. Tidak rugi saya mengenali diri awak. Ternyata, awak berbeza daripada wanita-wanita yang pernah saya jumpa dan dampingi.” Jimmy Shanley menyatakan sesuatu yang tidak pernah dinyatakannya sebelum ini. Aku sedikit terharu dengan penghargaan yang diberikannya buatku.

Apa hendak buat Jimmy Shanley, nasib kita serupa. Aku juga tidak percayakan kepada mana-mana lelaki setelah hati aku dirobek dengan nanah kecewa yang teramat mendalam sehingga bisanya masih lagi aku terasa sampai kini. Sebab itulah juga susah untuk aku jatuh cinta walaupun lelaki itu setampan dan sebaik kau. Maafkan aku Jimmy Shanley kerana tidak dapat mendalamkan lagi hubungan kita. Sekiranya kepercayaan itu muncul semula dalam diri aku, mungkin kau yang akan menjadi pilihan hati ini.

“Hati yang terluka, Encik Jimmy ... memang payah untuk diubati, apatah lagi hendak membina kepercayaan pada cinta itu semula. Sebab itu saya lebih senang berkawan daripada berkasih kerana hati saya telah mati untuk membina cinta semula.” Aku mengambil posisi yang sama dengan Jimmy Shanley dalam meluahkan perasaan hati yang terpendam selama ini.

“Jangan matikan terus perasaan cinta itu, Mira ... kerana masih ada yang ikhlas menyayangi diri awak. Hanya mereka yang terluka sahaja dapat memahami di antara satu sama lain jika cinta itu wujud kembali. Awak boleh melupakannya untuk seketika tetapi jangan terus membunuhnya. Cuba untuk buka ruangan itu semula agar insan lain boleh bertakhta dan menabur kasih sejati kali ini ke dalam ladang kontang awak. Jom, Mira ... kita balik. Dah lewat benar ni.” Jimmy Shanley terus memimpin tangan aku untuk turun ke bawah.

Aku tersentuh dengan ungkapan yang diluahkan oleh Jimmy Shanley. Memang benar apa yang dikatakannya, namun hati aku masih belum boleh menerima mana-mana kehadiran lelaki lagi buat masa sekarang. Insya-Allah, mungkin suatu hari nanti ... pintu hati aku akan terbuka semula untuk insan yang bernama lelaki.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
BaRaNgSiApA YaNg MeNgInGiNkAn PeRlInDuNgAn, MaKa ALLAH CuKuP bAgInYa
BaRaNgSiApA YaNg MeNgInGiNkAn TeLaDaN, MaKa RASULULLAH CuKuP bAgInYa
BaRaNgSiApA YaNg MeNgInGiNkAn PeDoMaN, MaKa AL-QURAN CuKuP bAgInYa
BaRaNgSiApA YaNg MeNgInGiNkAn PeRiNgAtAn, MaKa KEMATIAN CuKuP bAgInYa
DaN bArAnGsIaPa TiDaK cUkUp DeNgAN sEmUa, MaKa NERAKA CuKuP bAgInYa